PENCEGAHAN PENYAKIT SEMASA MUSIM SEJUK
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Wr Wbt, Salam Sejahtera dan Salam 1 MALBATT,
1. Sepertimana yang kita sedia maklum, musim sejuk di Negara Lubnan akan tiba tidak lama lagi. Pendedahan kepada cuaca sejuk boleh mendatang masalah kesihatan kepada anggota. Anggota yang berdisiplin dan terlatih boleh melindungi diri dari menghidapi masalah kesihatan ini dengan mengamalkan langkah-langkah tertentu.
2. Masalah perubatan yang boleh dihidapi oleh anggota di musim sejuk adalah seperti berikut:
a. Masalah kulit kering
b. Jangkitan Kulat
c. Trenchfoot
d. Hipothermia (Kesejukan)
KULIT KERING
3. Udara dan angin sejuk boleh mengakibatkan kekeringan kulit. Masalah ini selalunya terjadi di kawasan kulit yang terdedah seperti bibir dan tangan dan juga celah-celah sendi, siku dan lulut. Kulit yang kering biasanya akan pecah, terasa gatal dan akan digaru. Jika kulit digaru secara berlebihan, lapisan perlindungan atas kulit boleh tercalar. Ini membolehkan kuman masuk ke lapisan dalam kulit dan menyebabkan jangkitan kuman yang boleh merebak.
4. Cara mencegah dari kulit kering:
a. Gunakan krim pelembab kulit dan lip balm dengan kerap supaya kulit sentiasa lembut
b. Pastikan kuku sentiasa pendek untuk mencegah dari mengaru kulit dengan kuat
c. Pastikan kulit sentiasa bersih supaya mengelakkan jangkitan kuman
d. Minum air masak/mineral secara mencukupi (8 gelas sehari)
JANGKITAN KULAT
5. Cuaca sejuk boleh melambatkan proses pengeringan pakaian basah. Masalah boleh terjadi jika pakaian anggota yang basah dipakai semasa bertugas. Tempat yang basah dan kurang bersaluran udara adalah tempat yang sesuai bagi jangkitan kulat atau fungus. Jangkitan kulat boleh terjadi di mana-mana, tetapi biasanya terjadi di celah-celah jari kaki dan celah peha dan ketiak.
6. Cara mencegah dari jangkitan kulat:
a. Pastikan stokin dan seluar dalam ditukar setiap hari dan sentiasa berkeadaan kering. Ini termasuklah kasut yang dipakai
b. Pastikan kulit terutama pada celah-celah jari kaki dan celah-celah peha sentiasa kering
c. Pengunaan bedak pada badan dan kaki boleh menolong memastikan celah-celah kulit tidak basah dan seterusnya boleh mengelakkan dari jangkitan kulat
d. Ambil kesempatan untuk membuka kasut dan stokin apabila tidak membuat tugas
TRENCH FOOT (KAKI MEREKAH)
7. Trench Foot boleh terjadi kepada kaki yang terdedah kepada keadaan basah, kotor dan cuaca sejuk (suhu di bawah 10oC) secara belarutan. Kaki akan terasa kebas, sejuk, sakit dan menjadi bengkak. Kuman boleh masuk di tempat kulit pecah dan boleh mengakibatkan jangkitan.
8. Cara mencegah dari trench foot:
a. Pastikan kaki sentiasa dalam keadaan panas/suam dan kering
b. Sentiasa bersihkan dan keringkan kaki dengan rapi
c. Memakai stokin bersih dan menukarnya setiap hari
HIPOTERMIA
9. Hipotermia adalah satu situasi dimana suhu badan menurun di bawah 35oC. Ini boleh terjadi jika badan anggota tidak dilindungi dan terdedah kepada suhu pesekitaran yang sejuk. Jantung, urat saraf dan organ yang lain tidak boleh berfungsi dengan betul jika suhu badan terlalu rendah. Pesakit biasanya akan merasa lemah, keliru, kurang kordinasi pergerakan anggota badan, kurang keupayaan untuk bercakap dan hilang kesedaran semasa menghidap hipotermia.
10. Cara mencegah dari hipotermia:
a. Pastikan pakaian sentiasa bersih dan kering
b. Pakai beberapa lapisan pakaian ringan yang longgar yang boleh menakung lapisan udara dan mencegah haba badan dari hilang ke persekitaran
c. Pakai penutup kepala dan sarung tangan supaya mencegah haba badan hilang ke persekitaran
d. Elakkan melakukan aktiviti yang berlebihan yang menyebabkan banyak berpeluh sebab kombinasi pakaian basah dan cuaca sejuk boleh menyebabkan haba badan hilang dengan cepat
e. Elakkan tidur atau berbaring di atas lantai apabila membuat operasi di luar
from:paramedic china trip'10,namy_00
No comments:
Post a Comment