Sunday, February 21, 2010

21 MPP UMP Angkat Sumpah Janji Setia Tunaikan Tanggungjawab



Kuantan, 12 Februari - Seramai 21 ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Pahang Sesi 2009/2010 mengangkat sumpah menunaikan kewajipan dan taat setia di hadapan Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim di Bilik Mesyuarat Senat Bangunan Canseleri UMP semalam.

Lafaz pengisytiharan watikah telah disampaikan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Mohd. Ridzuan Nordin.

Dalam ucapan perasmian, Profesor Dato' Dr. Daing Nasir berkata, "Kecemerlangan dan keberkesanan kepimpinan tidak hanya daripada kepetahan seseorang pemimpin berbicara, tetapi perlu tahan diuji dengan cabaran di pentas realiti."

"Ini akan memperkasakan hala tuju kepimpinan pelajar di universiti ini."

Tambah beliau, kelasakan dan ketahanan kepimpinan juga dipengaruhi dengan keikhlasan dan semangat kesukarelaan.

"Semangat kesukarelaan (volunteerism) bukan sekadar turun ke desa membersihkan perkuburan, menjalankan aktiviti khidmat komuniti atau aktiviti baktisiswa.

"Semangat ini telah diamalkan di kalangan pelajar luar negara. Mereka telah mencapai satu tahap yang amat tinggi, merentasi sempadan dan mengungguli agenda kemanusiaan hingga ke peringkat antarabangsa.

"Sebagai contoh, pelajar di sana telah mengadakan program perlindungan haiwan, konservasi alam sekitar, bantuan bencana, advokasi kesejahteraan kanak-kanak, isu wanita dan orang tua," katanya.

Beliau turut menasihatkan barisan kepimpinan baharu ini agar mencabar ketahanan dan kelasakan minda agar tidak hanya menjalankan program sebagai melengkapkan takwim aktiviti tahunan semata-mata.

Sementara itu, Yang di-Pertua MPP, Mohd. Aedlan Nur Ahmad berkata, pihak MPP berbesar hati dan menyokong hasrat universiti, khususnya pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni dalam memperkasakan aktiviti mahasiswa.

"MPP akan berperanan perkukuhkan dengan merangsang kelab persatuan dan individu untuk melaksanakan pelbagai aktiviti serta program pengantarabangsaan, secara langsung membantu meletakkan UMP menjadi universiti pilihan pelajar luar negara menjelang tahun 2020 mengikut sebagaimana yang dihasratkan oleh Naib Canselor UMP." katanya.

Tambahnya lagi, pihak MPP berhasrat untuk mengadakan persidangan senat mahasiswa yang bakal bermula dalam masa terdekat bagi memupuk hubungan yang baik antara MPP dengan kelab persatuan di UMP.

Manakala menurut Timbalan Yang di-Pertua, Nur Hafizah Abdul Razak, Gerakan Manifesto (GERMAN) akan diadakan bagi mengumpul semua manifesto perwakilan untuk dibincangkan agar semua pandangan diambil kira dalam melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap warga universiti.

Selain itu, menurut Exco Hal Ehwal Wanita, Nor Atikah Mat Yusoff berkata, beliau dan rakan-rakan kepimpinan akan berusaha membantu dalam menangani isu berkaitan wanita dan merancang mengadakan program tanpa mengira bangsa.

Pada masa yang sama, Profesor Dato' Dr. Daing turut mengucapkan penghargaan terima kasih dan berpuas hati dengan pencapaian kepimpinanan MPP Sesi 2008/2009.

Mantan Yang di-Pertua MPP Sesi 2008/2009, Mohd. Suffi Kamari mendahului barisan kepimpinan MPP lalu bagi menerima sijil penghargaan daripada Profesor Dato' Dr. Daing Nasir.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dato' Dr. Sabarudin Mohd, Ketua Pustakawan, Tuan Haji Ruslan Che Pee, Bendahari, Zainuddin Othman dan barisan pengurusan universiti.


Disediakan Oleh : Unit Perhubungan Awam & Media, Pejabat Naib Canselor






3 comments:

none said...

ooo hebat kah...mantap ore kato..

atique said...

huhu..nan gk ryk gitu lalu..kah memei mantap dh..yk dlu lg kei..hihihihi

none said...

hola ore kato loni koho mantap..mulo xdey nk terserlah